Saturday, December 19, 2015

Star Wars: The Force Awakens (2015) - Movie review


Satu perkara tentang sebuah siri mahakarya yang mempunyai kekuatan pengikut yang amat besar, sebarang media baru yang diperkenalkan sememangnya tidak dapat lari dari sangkaan dan jangkaan. Ini juga sudah tentu berlaku pada filem terbaru siri Star Wars ini. Perlu dimaklumkan bahawa majoriti peminat hardcore, well, saya boleh kata fanboy siri ini tidak menggemari episod 1, 2 dan 3. Bagi saya pula, tidak sehingga membenci, tetapi saya juga dapat merasakan seperti ada sesuatu yang kurang pada ketiga-tiga episod tersebut, berbanding dengan episod klasik 4, 5 dan 6. Star Wars: The Force Awakens ini akan dinilai sehalus-halusnya seperti juga filem-filem terdahulu, dan sebarang kesilapan akan mengundang amarah peminat yang pasti akan menjejaskan filem-filem seterusnya.

Pendapat saya setelah menonton, jujur saya kata filem ini menarik, membangkitkan nostalgia, tetapi tidaklah begitu original. Seolah-olah seorang chef yang sebelum ini memasak nasi goreng ayam, kemudian menggantikan ayam dengan daging, ia tetap sebuah nasi goreng. Derivatif. Sebabnya tunjang jalan cerita terlalu banyak sangat persamaan dengan episod 4 (A New Hope). Seolah-olah satu deja vu, menonton kembali filem tersebut, tukar watak, tukar peranan, tukar itu ini, tambah tolak sikit, maka jadilah The Force Awakens. Seolah-olah pihak produksi cuba berhati-hati supaya tidak menyinggung peminat sepertimana episod 1, 2 dan 3. Itu cuma andaian saya saja.

Apa pun itu tidak mengurangkan semangat saya untuk menonton, semuanya semata-mata atas faktor nostalgia. Bunyi enjin Tie Fighter yang seakan-akan raksasa mengerang, bunyi percisan Lightsaber berlaga, ini semua terlalu mengujakan. Mungkin faktor derivatif itu tadi juga merupakan kekuatan filem ini. Tiada yang terlalu unik, terlalu fresh atau terlalu inovatif, dan saya anggap ini bukan suatu kelemahan, tetapi sebagai satu penghormatan kepada siri Star Wars itu sendiri yang tidak terlalu menyimpang jauh daripada ciri-ciri yang asal. Babak-babak tempur dan aksi juga agak mengujakan, adegan-adegan dogfight dibikin cukup cantik, pujian kepada pengarahnya J.J. Abrams, pada saya beliau telah menjalankan peranan dengan baik sekali. Tambahan lagi watak-watak baru yang diperkenalkan agak kukuh. Saya mengaku agak tertarik dengan pengenalan protagonis wanita sebagai Jedi apprentice, mungkin sebab dua trilogi sebelum ini dipegang oleh watak lelaki.

Filem ini saya letak di atas garisan secukup rasa. Ia berjaya menanam minat saya untuk menonton filem-filem seterusnya, well, lagi dua tahun, satu tempoh yang tak perlu ditunggu bagi mengelakkan diri terasa tua (kalau fahamlah maksud saya).

My rating: 4/5

No comments:

Post a Comment