Wednesday, December 30, 2015
Ip Man 3 (2015) - Movie review & analysis
Dalam suatu filem bersiri, jarang penonton menggemari filem yang ketiga. Filem pertama elok, filem kedua pun mungkin elok, tetapi filem ketiga yang boleh jadi sukar untuk mencapai prestasi filem-filem sebelumnya. Siri Terminator, Taken, Alien, Robocop (walaupun saya sebenarnya amat suka Robocop 3), itu antara contoh secara umum. Sedangkan Donnie Yen sendiri pun sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu ada filem ketiga, dan kita faham kenapa dia berkata demikian. Jadi tidak dapat dielakkan untuk berasa sedikit gusar, takut-takut filem ketiga ini gagal.
Saya akan kata, jika dinilai sebagai sebuah filem standalone, Ip Man 3 akan menampakkan beberapa kekurangan. Salah satu daripadanya, pembinaan plot yang tidak begitu kukuh menonjolkan kepentingannya. For example, sebelum menonton sebenarnya saya agak tertanya-tanya. Kenapa Mike Tyson? Ya, memang dia seorang yang sangat tersohor dalam seni tinju profesional, tapi bolehkah dia berlakon? Persoalan itu biarlah penonton sendiri menjawabnya. Saya kurang tertarik dengan cara pergerakan cerita dikembangkan, seolah-olah tidak cukup padu atau meyakinkan walaupun penghujung klimaks amat baik. Mungkin bagi penonton yang belum pernah menonton kedua-dua filem sebelum ini, akan terasa kurang dekat dengan watak-wataknya.
Namun jika dilihat dari segi pelengkap trilogi, Ip Man 3 cukup kuat untuk diletakkan hampir sebaris dengan filem sebelumnya. Adegan aksinya masih lagi berbisa dan mendebarkan. Saya juga suka dengan persekitaran Hong Kong era 1950-an seperti yang dipaparkan, cukup meyakinkan, tidak rasa asing, terasa seperti menonton filem-filem Hong Kong lama. Dan elemen yang paling kuat dalam filem ini adalah sentimen emosi dan kekeluargaan. Sebagaimana sentimen seorang pengikut siri Fast & Furious dari siri pertama ketika menonton filem paling akhir, mungkin itu juga yang timbul bagi siri ini. Agak sukar untuk menahan perasaan bagi penonton yang menghayati dan mendalami jiwa dan kehidupan watak bernama Ip Man sejak dari filem pertama. Momentum penghayatan filem ini akan jadi lebih kuat jika ditarik dari filem pertama.
My rating: 4/5 well done.
Analisis tambahan (Spoiler alert!)
Tema akhir yang dipaparkan agak tidak asing dalam dunia seni mempertahankan diri. Apabila melibatkan pertikaian atau masalah soal waris aliran dan sebagainya, boleh dikatakan ia satu perkara yang agak lazim di mana-mana saja termasuklah di Malaysia (boleh buat further research kalau berminat). Saya rasa satu idea yang agak bijak konsep ini dijadikan penutup dalam filem ini. Kata-kata Ip Man di hujung cerita membawa mesej yang sangat baik. Actually watak dia memang begitu sejak dari filem sebelumnya, dan konsistensi ini membuatkan karekter ini satu karekter yang agak meninggalkan kesan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment