Wednesday, December 21, 2016

Kimi no Na wa / Your Name (2016)

Artikel ini bukan ulasan, tetapi hanyalah merupakan kompilasi buah fikiran yang terlintas di minda saya selepas menonton cerita berkenaan.

SPOILER ALERT!



Sebelum menonton filem ini, saya sedaya upaya cuba melapangkan fikiran daripada andaian yang bukan-bukan. Ini kerana apabila terpandang poster promosinya, hati saya membuat tekaan semberono bahawa ini mungkin cerita berbau romantik tipikal gaya Makoto Shinkai. Personally saya kurang berminat dengan elemen romantik, namun disebabkan gaya penyampaian dan penceritaan beliau sebelum ini maka saya teruskan hasrat untuk menonton. Elemen body swap, ah, bukan sesuatu yang luar biasa sangat, dalam filem-filem dan anime-anime yang bersepah sebelum ini dah biasa sangat ditonjolkan. Gender bender, Freaky Friday flip, perkara sebegini bagi saya bukanlah sesuatu yang terlalu unik. Mungkin jika jalan ceritanya biasa-biasa saja, sekurang-kurangnya adalah juga hidangan visual yang cantik sebagai saguhati, memang saya akui, ini memang kelebihan beliau sejak dahulu. Menggunakan subjek sebenar yang ditukarkan ke bentuk animasi, ditambah lagi kepandaian bermain warna bersaturasi tinggi dengan perincian objek yang dibuat dengan teliti tanpa mengurangkan harmoni, cukup memukau.

Itu cuma sebahagian rasa gusar saya sebelum menonton. Langsung tidak dijangka saya bakal tersilap. Tersilap besar sekali. Cukup bijak Makoto Shinkai menyembunyikan sajian utama cerita ini walaupun di awal cerita penonton disajikan dengan sedutan babak-babak kunci cerita. Semua itu dilakukan bukan saja-saja tapi bersebab. Akan saya ulas sebentar lagi.


Body swap

Tanpa lengah, peristiwa body swap antara Taki, seorang pelajar lelaki di bandar besar Tokyo, dan Mitsuha, seorang remaja perempuan di pekan luar bandar Itomori, dijadikan pembuka cerita, seterusnya mengikat subjek ini sebagai kunci penting sepanjang cerita. Nampak biasa, tapi ini tidak semudah seperti dalam cerita Freaky Friday, atau apa yang Logan lalui dalam X-Men: Day Of Future Past, atau keupayaan Overdive Aya Brea dalam The 3rd Birthday. Ia bukan semata-mata pertukaran consciousness, tak kisah sama ada dalam garisan masa yang sama atau tidak. Ada beberapa aspek yang boleh kita lihat dalam mendalami perkara ini.

Melihat dari sudut spiritual. Mitsuha lahir dalam keluarga Miyamizu yang terkenal di pekan Itomori sebagai keturunan yang bertanggungjawab menguruskan shrine tempatan. Keluarganya memegang kuat kepercayaan Shintoism, di mana nenek Mitsuha mengharapkan cucunya itu meneruskan tradisi keluarga mereka walaupun Mitsuha berasa kurang selesa kesan daripada pemikiran masyarakat sekeliling yang semakin mengalami modernisasi dan bapanya sendiri. Apabila cerita berkembang, neneknya mendedahkan bahawa konsep body swap bukannya asing dalam keluarga mereka. Setiap keturunan Miyamizu mewarisi keunikan tersebut yang digambarkan seperti 'bermimpi'. Perkataan 'mimpi' memberi clue tentang bagaimana Mitsuha (atau Taki) merasai keadaan tersebut. Seperti yang kita manusia biasa alami, sebaik saja terjaga daripada mimpi tidur, kita tidak mungkin akan mengingati segala-galanya dengan terperinci. Apa yang kita ingati agak vague atau kabur. Ini menjelaskan kenapa kedua-dua Taki dan Mitsuha tidak mengingati semua benda ketika body swap. Sebaik saja mereka kembali ke tubuh masing-masing, mereka seolah-olah terjaga dari tidur. Setiap apa yang mereka ingat dengan jelas hanya berpandukan apa yang telah ditinggalkan oleh setiap seorang ketika bertukar (diari, nota dsb.).

Berbalik kepada soal spiritual, kita cuba lihat dari sudut Mitsuha tanpa mengambil kira sudut Taki, di sini keadaan menjadi menarik. Muncul persoalan kenapa? Apakah hikmahnya?

Di sini tidak dinafikan kaitan 'higher power' dalam segala yang berlaku, tapi bukan itu yang cuba saya ulas. Menurut nenek Mitsuha, amalan keturunan Miyamizu bermula kira-kira 1000 tahun dahulu, ini didedahkan ketika mereka mengembara ke satu lokasi 'suci' untuk mempersembahkan sake kuchikamizake sebagai ritual. Lokasi suci yang dikatakan 'sempadan ke alam ghaib' itu terletak di tengah-tengah kawasan yang kelihatan seperti kawah besar akibat hentaman meteor. Sebaik saja saya perasan, terdetik kuat sesuatu di hati. Tasik besar Itomori juga kelihatan seperti bekas kawah hentaman meteor, cantik saja bentuk bulatnya.

Sebaik saja segala clue berkaitan diikat, kesimpulan yang paling besar tersingkap. Semua ini berkaitan dengan prophecy. Keturunan Miyamizu dan kelebihan 'mimpi' mereka berperanan salah satunya sebagai pemberi amaran kepada penduduk setempat tentang malapetaka besar yang bakal melanda. Melihat kepada dua kawah besar (tempat suci dan tasik), dapat disimpulkan bahawa sejak zaman berzaman keturunan Miyamizu di tempat itu sudah meramalkan hentaman meteor yang bakal meragut nyawa penduduk setempat. Namun bak kata nenek Mitsuha, apabila sesuatu amalan tradisi sudah terlalu lama, orang ramai akan lupa apa rasionalnya amalan itu.

Body swap antara Mitsuha dan Taki hanya berfungsi sebagai method yang tidak dijelaskan. Dari sudut Mitsuha dan orang sekelilingnya, ia sekadar ramalan. Untungnya kita sebagai penonton sebab kita dapat lihat bagaimana ia berlaku. Mitsuha dapat tahu tentang bencana besar itu sebab dia dapat maklumat tersebut daripada individu masa depan iaitu Taki.


Time travel(?)

Walaupun body swap Taki dan Mitsuha nampak seperti konsep time travel, ia sebenarnya tidak semudah itu. Ia bukan semudah memindahkan jasad atau roh ke suatu masa yang lain. Perkara ini dijelaskan oleh nenek Mitsuha secara metafora ketika mereka membuat tenunan kumihimo. Masa, seperti tenunan bebenang, bergerak selari, kadangkala terurai, dan ada ketika akan bertemu di satu titik. Walaupun garisan masa Taki dan Mitsuha dipisahkan dalam jarak 3 tahun, ada keadaan tertentu yang membolehkan jarak masa itu bertembung, seperti yang kita lihat ketika Taki bertemu Mitsuha di lokasi suci 'sempadan alam ghaib' waktu senjakala.

Garisan masa Taki dan Mitsuha, walaupun selari dari sudut masing-masing, tetap tidak sama memandangkan Mitsuha berada pada masa lalu dan Taki pada masa depan. Apa yang berlaku pada masa lalu akan menentukan masa depan. Bagi Mitsuha, segalanya belum berlaku, tetapi tidak bagi Taki. Kalau diikutkan logik sudah tentu Taki tak dapat berbuat apa-apa untuk menghalangkan bencana besar itu, tetapi di sini sekali lagi kaitan 'higher power' wujud ketika doanya di lokasi suci supaya ditukarkan consciousness dikabulkan. Saya rasa cukup setakat itu ulasan tentang garisan masa memandangkan jika dikaitkan dengan sumber pengaruh luar akan menimbulkan paradox dan plot hole. Di sini dapat dilihat Makoto Shinkai bijak mengawal plot supaya tidak terlalu liar hingga tergantung.


Musubi

Pengetahuan saya dalam kepercayaan Shinto amat terhad, dan saya sukar untuk tafsirkan istilah 'musubi' melalui perkataan dengan tepat, tetapi konsep ini merupakan kunci kepada pertalian antara Taki dan Mitsuha. Bak kata nenek Mitsuha, konsep musubi merangkumi makna yang besar. Musubi itu sendiri merangkumi setiap 'kejadian' dan pertaliannya dengan 'higher power'. Dalam cerita ini, antara objek-objek utama yang menjadi kunci sama ada secara nyata atau metafora adalah tenunan ikat rambut Mitsuha yang dijadikan gelang oleh Taki dan juga kuchikamizake buatan Mitsuha yang diminum oleh Taki. Ketika artikel ini ditaip, saya selesai membuat sedikit pencarian berkenaan kepentingan objek-objek tersebut. Elemen 'tali' atau 'bebenang' mempunyai kaitan kuat dalam soal takdir dan jodoh bagi sesetengah masyarakat Asia timur. Kehadiran elemen 'tali' ini secara halusnya memberi petunjuk tentang hubungan mereka berdua. Tanpa mengira batas tempat dan masa, kalau dah takdir akan bertemu juga. Cuma tak expect caranya agak, wow.


Menggulung semua point itu tadi menunjukkan betapa dalamnya elemen spiritual yang diterapkan dalam cerita ini. Bak kata-kata hidup ini bagaikan mimpi. Kesimpulannya cerita ini sangat istimewa dan unik dalam segenap segi. Ia hampir mengulangi semula cerita-cerita Makoto Shinkai sebelum ini, tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya pun tersilap besar. Deja vu? Apa pun untuk maklumat, teori dan hipotesis yang lebih meluas bolehlah dicari di internet. Dengan pengetahuan saya yang terhad, ini saja yang dapat saya susun dengan kata-kata.

By the way, setelah buka internet, baru saya perasan yang cikgu Mitsuha (gambar di atas) adalah Yukari Yukino, watak utama dalam The Garden Of Words (2013) yang juga merupakan seorang cikgu. Deja vu lagi?