Tuesday, October 4, 2016
Shin Godzilla (2016) - Review dan analisis
Perkataan 'Shin' yang diletakkan di hadapan suatu nama boleh memberi beberapa gambaran terhadap nama tersebut. Boleh jadi ia mewakili perkataan 真 yang boleh diterjemahkan sebagai real, true, tulen, atau sebenar-benarnya. Boleh jadi juga perkataan 新 iaitu sesuatu yang terbaru. Namun begitu apabila saya mencari tajuk Shin Godzilla dalam media Jepun, ia ditulis sebagai シン・ゴジラ. Perkataan 'Shin' ditulis dalam Katakana dan tidak mempunyai makna tertentu yang khusus. Di sini saya andaikan bahawa ia mungkin boleh membawa maksud sama ada salah satu atau kedua-dua perkataan yang tadi, iaitu filem Godzilla terbaru yang sebenar-benarnya. Seolah-olah ingin dinyatakan bahawa inilah Godzilla yang sebenar-benar Godzilla.
Satu perkara tentang filem ini, saya sebenarnya menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri pada peringkat permulaan. Mood tontonan saya tidak ditala dengan betul, mungkin kerana saya dibayangi cara penyampaian beberapa filem Godzilla versi Amerika sejak sedekad dua lepas. Seperti ada suatu deja vu. Ada perasaan yang agak familiar cuma sedikit asing. Kemudian saya teringatkan filem Reptilicus (1961), antara filem raksasa gergasi terawal yang pernah saya tonton ketika kecil dahulu. Di situlah saya terjumpa punca perasaan yang saya alami tadi. Rasa suspense dan thrill yang sama. Dari situ sedikit demi sedikit mood saya sampai. Saya mula terjumpa formula untuk menikmati filem tersebut, walaupun penonton di kerusi sebelah sudah mula menampakkan simptom-simptom kebosanan. Rupa-rupanya sejak dari awal tadi saya menonton dari sudut pandangan pihak yang salah.
Filem arahan Hideaki Anno ini merupakan reboot ketiga Toho terhadap franchise Godzilla. Seperti juga filem Godzilla yang pertama (1954), Shin Godzilla membawa mesej yang hampir sama cuma lebih kontemporari dan lebih meluas. Melihat dari sudut suntingan, memang ada rasa janggal. Saya andaikan memang sengaja setiap scene disusun dan dimasukkan sedemikian rupa bagi menimbulkan elemen klasik, mungkinlah. Ditambah lagi dengan gaya muzik latar yang memang mengena dalam babak-babak terpilih. Shiro Sagisu punya kerja, seperti biasalah. Isi ceritanya padat, tidak melewah, tidak terhoyong-hayang. Elemen emosi bukan umpan yang dicampakkan oleh pengarahnya. Kita tidak dihidangkan dengan tangisan dan raungan mangsa-mangsa yang terlibat. Kekurangan itu mungkin akan jadi satu kecacatan jika filem ini tidak dilihat dari sudut yang lebih tinggi, dan ternyata itu bukan satu kecacatan.
Watak utama yang menerajui sebuah filem aksi sains fiksyen bukannya seorang askar, atau seorang saintis, tetapi seorang setiausaha kabinet. Malahan sebahagian besar watak utama dan babak-babak penting melibatkan merupakan mereka yang terlibat dalam badan eksekutif dan perundangan. Ia bukan tentang ketangkasan seorang askar gung-ho atau kepandaian seorang saintis eccentric. Fokus filem ini bukan tentang kehebatan individu perseorangan atau sekumpulan kecil manusia, tetapi seluruh Jepun sebagai satu negara. Bagaimana Jepun menghadapi Godzilla. Setiap decision making dan tindakan, dari orang bawahan hingga pihak atasan ditonjolkan secara jujur dan realistik seperti dunia realiti, bukan semata-mata dibuat untuk menambah rencah dan drama filem. Soal protokol dan SOP disulami dengan soal birokrasi dan polisi membuatkan saya rasa seperti inilah dia situasi sebenar apabila melibatkan situasi luar jangkaan atau worst case scenario. Pasukan tentera pertahanan Jepun beroperasi dengan penuh sistematik, bukan semata-mata hanya sekadar menayangkan kecanggihan persenjataan atau keberanian askar-askarnya. Begitu juga dengan organisasi lain yang terlibat. Di sinilah dia formula untuk menikmati filem ini. Saya cuba bayangkan diri sendiri sebagai seorang rakyat Jepun. Sudah tentu dengan input yang amat terhad, tapi ia memadai.
Apabila dilihat dari sudut yang lebih tinggi, dari situ saya nampak filem ini membawa mesej yang sangat dalam dan serius. Shin Godzilla merupakan satu peringatan dan teguran, umumnya kepada rakyat dan khususnya kepada pemimpin. Seperti juga filem yang terdahulu, raksasa gergasi itu hanyalah merupakan satu metafora. Ia boleh jadi apa saja sama ada bencana alam, serangan pengganas, peperangan, dan sebagainya. Malahan adegan Shin Godzilla mula naik ke darat sangat mengingatkan saya dengan klip-klip video bencana tsunami yang melanda Jepun pada 2011. Agak mirip sekali. Jepun sebuah negara yang sudah lama berdiri, dan sudah masak dengan pelbagai bentuk ancaman sedemikian. Satu perkara menarik yang diketengahkan adalah bagaimana Jepun menggunakan kelebihan yang mereka ada. Negara ini sudah lengkap dengan individu-individu berkemahiran, tenaga kerja yang berdedikasi dan berkebolehan, kemudahan yang lengkap, sumber yang cukup, perajurit yang sedia berkorban, hubungan yang baik dengan negara luar, dan banyak lagi beberapa aspek lain. Semuanya cukup untuk menobatkan Jepun sebagai sebuah negara hebat dan stabil. Namun tidak ada gunanya semua itu sekiranya pihak yang membuat keputusan, yakni golongan pemimpin atasan, politikus, dan semua yang terlibat dalam pentadbiran melakukan kegagalan. Sia-sia belaka semua kelebihan itu tadi. Selain itu, filem ini juga mengetengahkan betapa pentingnya hubungan antara orang lama dan orang muda dalam mentadbir negara. Orang lama sebagai pembimbing dan pendorong sustainability manakala orang muda dengan idea-idea dan inovasi baru. Kedua-duanya saling berhubung kait antara satu sama lain.
Bercakap dari sudut rupa Godzilla, saya agak berminat dengan rekabentuk barunya. Rupanya agak angker, evil, menggerunkan, cukup menepati perkataan 'Shin' yang diletakkan pada namanya. Mungkin disebabkan pengarahnya orang berpengalaman tinggi dalam bidang anime maka mewujudkan rasa dramatik yang kuat bukan satu masalah. Saya tertarik untuk memperkatakan tentang Atomic Breath, satu bentuk serangan yang menjadi mercu tanda Godzilla. Bagi saya Atomic Breath dalam filem ini adalah yang paling hebat pernah divisualisasikan. Proses build up yang mencemaskan sehingga kemuncak apabila serangan menjadi matang, sungguh menggerunkan. Jika anda pernah menggunakan penunu Bunsen, anda pasti tahu bagi tujuan keselamatan sebelum menyalakannya lubang udara perlu ditutup terlebih dahulu bagi menghasilkan api 'sejuk' yang berwarna kuning. Selepas itu barulah lubang udara dibuka perlahan-lahan sehingga api bersuhu tinggi berwarna biru terhasil. Begitu juga dalam filem ini, mungkin mereka mendapat ilham dari konsep ini. Selain itu, saya perasan ada sedikit kelemahan dari segi CGI dan kesan khas, termasuklah bunyi letupan yang sama diulang-ulang, namun saya tak ada masalah sangat dengan itu semua.
Sebagai penutup ulasan, filem ini adalah sebuah filem dari negara Jepun untuk rakyat Jepun. Malah tak keterlaluan saya katakan filem ini sebenarnya filem patriotik. Kalaulah Jepun ada sambutan kemerdekaan seperti kita, filem ini boleh jadi sebuah filem merdeka yang amat baik. Sebagai sebuah reboot pula, bagi saya ia satu hasil kerja yang baik. Saya tak kata Hideaki Anno seorang pengarah yang hebat (walaupun saya mengikuti karya Evangelion beliau dahulu tetapi bukan peminat tegar), cuma bagi saya not too shabby.
4/5
Subscribe to:
Posts (Atom)